Apa perlu anda buat kalau bayi tersedak susu? Artikel ini akan membimbing anda tentang langkah-langkah kecemasan yang betul, tanda amaran yang perlu diperhatikan, dan cara mencegahnya daripada berulang.
Kenali Tanda Bayi Dalam Bahaya
Sebelum membuat teknik untuk melegakan anak anda, ibu bapa perlu membezakan antara tersedak kecil dan sumbatan saluran pernafasan yang serius:
Tersedak Ringan
Bayi batuk dengan kuat dan muka kemerahan. Selagi bayi boleh batuk dan menangis, maksudnya saluran udara masih terbuka.
Tersedak Serius
- Bayi nampak bergelut tetapi tiada suara keluar.
- Bibir dan hujung jari mula bertukar kebiruan atau pucat.
- Bayi nampak lemah atau tiba-tiba menjadi lembik.
- Bunyi pernafasan yang nyaring atau tiada bunyi nafas langsung.
Langkah Kecemasan: Teknik 5-5
Jika bayi tidak boleh batuk atau menangis, anda perlu bertindak serta-merta menggunakan teknik ini. Jangan mengoncangkan bayi anda!

Langkah 1: 5 Tepukan Belakang
- Letakkan bayi menelungkup di atas lengan bawah anda.
- Pastikan kepala bayi lebih rendah daripada dadanya.
- Sokong rahang bayi dengan jari (jangan tekan leher atau menutup mulutnya).
- Gunakan tumit tapak tangan anda untuk memberikan 5 tepukan mantap di tengah-tengah tulang belikat bayi.
Langkah 2: 5 Tekanan Dada
- Jika susu masih belum keluar, pusingkan bayi secara perlahan (menelentang) di atas lengan anda yang sebelah lagi.
- Pastikan kepala tetap lebih rendah daripada badan.
- Letakkan dua jari di tengah-tengah tulang dada (di bawah sedikit dari garisan puting).
- Lakukan 5 tekanan cepat ke dalam dada (sedalam kira-kira 4cm).
Langkah 3: Ulang
Ulang kitaran 5 tepukan dan 5 tekanan ini sehingga susu keluar, atau sehingga bayi mula menangis kuat dan bernafas semula.
Pantang Larang Semasa Kecemasan
Dalam keadaan panik, kita cenderung melakukan kesilapan yang boleh memburukkan keadaan:
- Dilarang memasukkan jari ke dalam mulut bayi. Tindakan ini boleh menolak susu atau lendir lebih dalam ke saluran pernafasan.
- Dilarang meniup muka bayi. Ini tidak membantu mengeluarkan sumbatan di dalam trakea.
- Dilarang mengangkat kaki bayi ke atas. Menghayun bayi secara terbalik tidak lagi disyorkan dan boleh menyebabkan kecederaan kepala.
Tips Pencegahan untuk Elakkan Tersedak Berulang
Mencegah adalah jauh lebih baik daripada merawat. Kecekapan ibu bapa dalam mengatur cara penyusuan dapat meminimalkan risiko bahaya kepada si kecil. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diamalkan:
Kedudukan Badan yang Menegak
Semasa menyusu, pastikan kedudukan kepala bayi berada lebih tinggi daripada bahagian perutnya. Sebaik-baiknya, kekalkan condong badan pada sudut 45 darjah. Kedudukan ini menggunakan bantuan tarikan graviti untuk memastikan susu terus mengalir ke dalam perut dan tidak melimpah semula ke saluran pernafasan.
Pemilihan Aliran Puting yang Sesuai
Bagi bayi yang menyusu menggunakan botol, pastikan lubang pada puting botol tersebut tidak terlalu besar. Aliran susu yang terlalu laju dan menderu boleh menyebabkan bayi lemas dalam baki susu yang tidak sempat ditelan. Pilih saiz aliran yang bertepatan dengan tahap umur dan kemampuan menelan bayi anda.

Kepentingan Menyendawakan Bayi
Jangan sesekali terus menidurkan bayi sejurus selepas mereka selesai menyusu. Pastikan bayi disendawakan terlebih dahulu untuk mengeluarkan udara yang tertelan. Proses ini membantu mengurangkan tekanan di dalam perut yang sering menjadi punca susu naik semula ke kerongkong (muntah jeluak) yang seterusnya boleh mengakibatkan tersedak semasa tidur.
Penyusuan Beritma mengikut Kemampuan Bayi
Jika menggunakan botol, jangan biarkan susu mengalir secara berterusan tanpa henti. Berikan ruang untuk bayi berehat seketika selepas beberapa kali sedutan. Teknik ini membolehkan bayi mengatur pernafasan mereka dengan lebih tenang dan menelan susu secara berperingkat tanpa rasa terburu-buru atau sesak nafas.
Bila Perlu Jumpa Doktor
Walaupun bayi itu nampak seperti kembal kepada keadaani normal selepas tersedak, ia amat disarankan untuk mendapatkan pemeriksaan doktor jika:
- Bayi nampak tidak bermaya atau enggan menyusu.
- Bayi mengalami batuk yang berlarutan atau nafas berbunyi selepas kejadian.
- Anda risau jika ada susu yang masuk ke paru-paru (boleh menyebabkan kuman paru-paru).
Apabila membawa bayi ke klinik selepas insiden tersedak, doktor boleh melakukan pemeriksaan rapi menggunakan stetoskop untuk mendengar bunyi paru-paru dan alat pengesan oksigen bagi memastikan pernafasan anak stabil. Penilaian ini kritikal untuk mengesan risiko radang paru-paru sekiranya terdapat susu yang telah masuk ke dalam saluran pernafasan tanpa disedari oleh ibu bapa.
Ilmu bantuan kecemasan adalah persediaan terbaik yang boleh ibu bapa berikan kepada anak-anak. Pastikan anda sentiasa tenang, kerana ketenangan anda adalah kunci kepada keselamatan si kecil. Jika terdapat sebarang kebimbangan, jangan ragu-ragu untuk kunjungi Klinik Azurose.





