Apabila berlaku sebarang perubahan pada minggu-minggu terakhir kehamilan, anda memerlukan jawapan dengan pantas. Panduan ini merangkumi tanda-tanda paling biasa bahawa proses bersalin mungkin bermula atau terdapat sesuatu yang memerlukan perhatian perubatan segera, serta menjelaskan secara terperinci maksud setiap tanda tersebut dan tindakan yang perlu diambil.
Satu peraturan secara menyeluruh: jika anda ragu-ragu, hubungi hospital atau klinik anda. Tiada siapa yang akan mempertikaikan anda kerana membuat pemeriksaan.
Bersalin Awal vs Bersalin Aktif
Fasa awal bersalin ialah apabila serviks mula membuka dari 0 hingga 6 sentimeter. Kontraksi mula terbina tetapi belum benar-benar stabil. Bagi kebanyakan ibu yang pertama kali hamil, fasa ini boleh berlanjutan selama berjam-jam dan paling baik diuruskan di rumah di mana anda berada dalam keadaan selesa.
Fasa bersalin aktif bermula apabila pembukaan serviks mencapai 6 sentimeter. Kontraksi menjadi teratur, kuat, dan konsisten. Ini adalah waktu untuk anda bertolak ke hospital.
Panduan standard bagi ibu yang pertama kali hamil ialah peraturan 5-1-1: kontraksi yang berlaku 5 minit sekali, berterusan selama 1 minit, dan berlarutan sepanjang tempoh sekurang-kurangnya 1 jam. Apabila corak ini kekal konsisten dan tidak reda dengan rehat atau minum air, sudah tiba masanya untuk ke hospital.
Sekiranya anda pernah melahirkan sebelum ini, jangan tunggu sehingga corak 5-1-1. Proses bersalin berlaku lebih pantas bagi kehamilan berikutnya. Tanpa mengira corak kontraksi, segera ke hospital sekiranya anda mengalami sebarang pendarahan, air ketuban pecah, pergerakan janin berkurangan, atau ada sesuatu yang terasa tidak kena.
Kontraksi
Kotraksi seumpama rasa tegang yang meliputi seluruh bahagian perut dan kerap diiringi sakit di bahagian bawah belakang, yang terbina secara beransur-ansur dari segi intensiti, mencapai kemuncak, dan kemudiannya mereda. Ramai wanita menggambarkannya seperti senggugut teruk yang datang secara bergelombang.
Braxton Hicks vs Kontraksi Sebenar
| Ciri-ciri | Braxton Hicks | Kontraksi Sebenar |
|---|---|---|
| Corak | Tidak teratur | Teratur dan selang masanya semakin rapat |
| Intensiti | Kekal sama atau bertambah ringan | Semakin kuat setiap kali berlaku |
| Dengan Rehat / Minum Air | Biasanya mereda atau berhenti | Berterusan tanpa mengira apa yang anda lakukan |
| Tempoh Masa | Berubah-ubah | Gets longer over time |
Air Ketuban Pecah
Kantung amniotik pecah dan cecair ketuban keluar. Ini boleh berlaku secara mencurah-curah yang sangat ketara atau lelehan perlahan dan berterusan yang mudah dikelirukan dengan kebocoran air kencing.
Cecair ketuban biasanya berwarna jernih atau sedikit kekuningan dengan bau yang manis sikit. Berbeza dengan air kencing, lelehan cecair ketuban tidak akan berhenti, ia terus meleleh kerana kepala bayi tidak menutup bukaan tersebut secara sepenuhnya.
Perlu Buat Apa
Pergi ke hospital sebaik sahaja membran ketuban anda pecah, tanpa mengira sama ada kontraksi telah bermula atau belum. Jangan tunggu di rumah untuk melihat apa yang berlaku seterusnya. Sebaik sahaja membran pecah, benteng perlindungan antara bayi anda dengan dunia luar telah hilang, dan risiko jangkitan akan meningkat seiring berlalunya masa.
Catatkan waktu ia berlaku, warna cecair, serta anggar jumlahnya. Bawa beg hospital anda, buku pink, dan kad pengenalan.
Segera ke hospital jika:
- Cecair berwarna hijau atau coklat, ini menandakan kehadiran mekoniun dan memerlukan penilaian kecemasan
- Terdapat pendarahan berserta cecair ketuban
- Anda merasakan atau melihat tali pusat di bukaan faraj, ini merupakan kecemasan. Segera mengambil posisi merangkak dan hubungi talian kecemasan dengan serta-merta
Sumbat Mukus dan Pendarahan dari Faraj
Sepanjang tempoh kehamilan, gumpalan mukus yang tebal menutupi dan menyumbat saluran serviks. Apabila serviks mula melembut dan membuka sebagai persediaan untuk bersalin, sumbat ini akan keluar. Ia mungkin kelihatan seperti gumpalan mukus tebal berwarna jernih, putih, kekuningan, atau bercampur sedikit dengan urat darah — kadangkala keluar secara sekali gus, atau sedikit demi sedikit dalam tempoh beberapa hari.
Apabila mukus ini bercampur dengan sedikit darah (berwarna merah jambu atau coklat) ini bermakna serviks sedang aktif mula membuka.
Maksudnya
Proses bersalin semakin hampir — tetapi tidak semestinya berlakunya serta-merta. Sesetengah wanita kehilangan sumbat mukus beberapa hari hingga beberapa minggu sebelum fasa bersalin bermula, manakala yang lain merasainya beberapa jam sebelum kelahiran. Ia merupakan tanda bahawa segala-galanya bergerak ke arah yang betul, bukannya isyarat untuk tergesa-gesa ke hospital.
Perlu Buat Apa
Catatkan waktu ia berlaku dan maklumkan kepada doktor anda pada temu janji seterusnya atau menerusi mesej. Pantau kemunculan kontraksi yang teratur dan pecah air ketuban. Kehadiran kecemasan ke hospital tidak diperlukan bagi kes kehilangan sumbat mukus sahaja, melainkan ia diiringi oleh pendarahan yang ketara, kesakitan yang teruk, atau simptom-simptom lain.
Perut Mengeras
Bahagian perut terasa sangat keras, tegang, atau pejal seperti papan serta tidak tenang atau melembut semula di antara sela kontraksi atau episod kesakitan.
Keadaan ini berbeza daripada ketegangan sementara akibat Braxton Hicks atau kontraksi biasa. Dalam kontraksi biasa, rahim akan berehat dan melembut di antara episod kontraksi. Namun, dalam keadaan perut tegang rigid, rahim tidak akan melembut semula.
Maksudnya
Perut yang kekal tegang dan keras secara berterusan bersama kesakitan yang ketara mungkin menandakan plasenta tertanggal iaitu keadaan kecemasan serius di mana plasenta terpisah daripada dinding rahim sebelum kelahiran. Pendarahan mungkin kelihatan atau tidak kelihatan dari luar. Tahap kesakitan yang teruk dan ketegangan perut yang berterusan merupakan tanda amaran utamanya.
Pergerakan Janin Berkurangan
Perubahan yang signifikan dan tidak dapat dijelaskan pada corak pergerakan kebiasaan bayi anda yang berterusan atau terasa berbeza daripada apa yang biasa anda rasai.
Maksudnya
Pergerakan janin yang berkurangan boleh menjadi tanda awal bahawa bayi berada dalam keadaan tertekan. Keadaan ini memerlukan penilaian klinikal iaitu imbasan ujian CTG yang memantau kadar degupan jantung bayi secara masa nyata. Anda tidak boleh menilai perkara ini sendiri di rumah.
Perkara yang TIDAK Boleh Dilakukan
- Jangan minum air sejuk dan menunggu bayi memberi tindak balas
- Jangan mengira pergerakan tendangan dan melegakan hati sendiri dengan jumlah angka tersebut
- Jangan menunggu sehingga hari esok atau temu janji anda yang seterusnya
Bengkak Kaki, Buku Lali, Tangan, atau Muka
Bengkak Normal
Bengkak ringan pada buku lali dan kaki yang semakin teruk menjelang penghujung hari dan dalam cuaca panas adalah biasa dan normal pada trimester ketiga. Ia terbina secara beransur-ansur dan tidak hadir bersama simptom-simptom lain.
Apabila Bengkak Menjadi Tanda Amaran
Bengkak yang berlaku secara tiba-tiba dan ketara terutamanya pada bahagian muka atau tangan yang berkembang dengan pantas adalah berbeza. Apabila keadaan ini berlaku bersama mana-mana gejala berikut, ia mungkin menandakan preeklampsia: sakit kepala yang teruk, penglihatan kabur atau nampak bintik-bintik, sakit di bawah tulang rusuk sebelah kanan, atau pengeluaran air kencing yang berkurangan.
Preeklampsia adalah komplikasi kehamilan yang serius melibatkan tekanan darah tinggi dan kerosakan organ. Ia boleh berkembang secara pantas dan memerlukan penilaian doktor dengan serta-merta.
Perlu Buat Apa
- Bengkak ringan bertambah perlahan pada buku lali dan kaki, tiada simptom lain: Tinggikan posisi kaki semasa berehat, kekal terhidrasi, dan maklumkan semasa temu janji anda seterusnya.
- Bengkak tiba-tiba pada muka atau tangan, atau sebarang bengkak serta sakit kepala, gangguan penglihatan, atau sakit bahagian atas perut: Segera ke hospital.
Diarrhoea
Najis longgar atau cirit-birit dalam tempoh beberapa hari sebelum proses bersalin tanpa demam, pendarahan, atau tanda-tanda penyakit lain.
Maksudnya
Satu tanda biasa sebelum proses bersalin. Hormon prostaglandin iaitu hormon yang mencetuskan proses bersalin turut melonggarkan usus, sekali gus menyebabkan ia mengosongkan kandungannya. Ramai wanita mengalami keadaan ini dalam tempoh 24 hingga 48 jam sebelum fasa bersalin bermula. Ini ialah cara tubuh membersihkan dirinya sebagai persediaan.
Perlu Buat Apa
- Cirit-birit tanpa simptom lain: Kekal terhidrasi, berehat, dan perhatikan tanda-tanda bersalin yang lain.
- Berserta demam, darah dalam najis, atau kekejangan teruk: Dapatkan penilaian perubatan pada hari yang sama.
Sakit Belakang Bahagian Bawah
Sakit Belakang Normal
Rasa lenguh dan sakit berterusan di bahagian bawah belakang adalah sangat biasa pada trimester ketiga disebabkan oleh berat bayi serta pelonggaran sendi dan ligamen. Kesakitan jenis ini adalah konsisten dan bukannya datang secara bergelombang.
Sakit Belakang sebagai Tanda Bersalin
Bersalin sakit belakang di mana kontraksi dirasai terutamanya sebagai kesakitan di bahagian bawah belakang dan bukannya ketegangan perut adalah biasa, terutamanya apabila bayi berada dalam posisi posterior. Perbezaan utamanya: kesakitan ini beritma, datang secara bergelombang, dan intensitinya meningkat seiring berlalunya masa.
Tekanan Pelvis
Sensasi berat dan menekan ke bawah pada bahagian pelvis dan rektum apabila kepala bayi mula turun. Sesetengah wanita juga mengalami kesakitan tajam seperti kejutan elektrik pada faraj atau celah paha yang disebabkan oleh kepala bayi yang menekan saraf pelvis.
Maksudnya
Bayi sedang turun ke dalam rongga pelvis. Ini adalah normal dan semangkin dijangka pada minggu-minggu terakhir. Tekanan pelvis yang meningkat bersama setiap kontraksi merupakan tanda bahawa proses bersalin sedang maju ke hadapan.
Tubuh badan anda akan memberikan pelbagai isyarat. Sesetengahnya menandakan bahawa proses bersalin semakin hampir. Ada yang menandakan ia sedang berlaku sekarang. Manakala sesetengah isyarat pula bermakna anda perlu segera ke hospital tanpa penangguhan.
Gunakan panduan ini untuk mengenali simptom apa yang sedang anda alami. Apabila timbul sebarang keraguan, teruslah ke hospital. Satu-satunya keputusan yang silap adalah menunggu dan menangguh apabila ada sesuatu yang memerlukan perhatian perubatan dengan segera.
Tidak pasti sama ada apa yang anda rasai itu normal atau tidak? Klinik Azurose beroperasi 24 jam sehari di Alam Damai, Cheras. Doktor kami sentiasa sedia membantu anda pada bila-bila masa. Anda boleh terus hadir secara walk-in atau hubungi kami sekarang.





