Skip to content

Panduan Persiapan Anak Pertama untuk Bakal Ibu Bapa

Doctor Farhana Profile

Dr. Farhana Abdul Aziz, MD

Dr. Farhana is experienced in public and private healthcare. She has helped countless patients and families with empathetic care.

Daripada persediaan sebelum hamil dan fasa kehamilan sehinggalah kepada persediaan bersalin serta penjagaan bayi baru lahir, panduan ini merangkumi semua perkara yang perlu diketahui oleh bakal ibu bapa demi melancarkan perjalanan menimang cahaya mata pertama.

Share:

Table of Contents

Merancang untuk mendapatkan cahaya mata pertama merupakan antara momen paling bermakna. Fasa ini sememangnya amat mengujakan, namun ia juga boleh membuatkan bakal ibu bapa rasa gementar dan bimbang. Terdapat terlalu banyak lambakan maklumat di luar sana untuk menyediakan pasangan sebelum melangkah ke alam keibubapaan, sehinggakan sukar untuk membezakan mana satu yang benar-benar penting.

Panduan ini ditulis khas buat bakal ibu bapa dan pasangan suami isteri yang sedang merancang anak pertama mereka. Fokus utama panduan ini adalah untuk memberikan apa yang anda perlu tahu bagi memastikan kesihatan ibu dan bayi sentiasa terpelihara; bermula dari fasa sebelum hamil, sepanjang tempoh kehamilan, proses kelahiran, sehinggalah bayi menginjak ke usia satu tahun.

Bahagian 1: Sebelum Anda Mengandung

Kebanyakan pasangan suami isteri biasanya hanya fokus pada proses mengandung, sehinggakan terlepas pandang persediaan penting yang perlu dibuat sebelum itu lagi. Sebenarnya, beberapa bulan sebelum mula mencuba untuk menimang cahaya mata merupakan waktu paling kritikal untuk menjaga kesihatan bakal ibu dan kandungan. 

Persediaan awal yang rapi ini amat membantu untuk melancarkan proses kehamilan nanti.

1.1 Mengambil Ujian Kesuburan Bersama Pasangan

Kadar kesuburan di Malaysia menunjukkan trend penurunan¹ — menyusut kepada 1.6 kelahiran bagi setiap wanita pada tahun 2023 iaitu di bawah kadar penggantian normal (2.1). Dianggarkan sebanyak 10% hingga 15% pasangan di Malaysia berdepan dengan masalah kesuburan.² Oleh itu, ianya penting untuk membuat perancangan awal.

Masalah kesuburan ini bukanlah isu wanita semata-mata. Malah, dalam hampir separuh daripada kes kesukaran mendapatkan zuriat, faktor penyumbang sebenarnya dikesan berpunca daripada pihak suami. Sebab itulah ujian kesuburan sepatutnya dilakukan bersama-sama sebagai pasangan, bukannya hanya diserahkan kepada sebelah pihak si ibu sahaja.

penilaian kesuburan lelaki

Bagi lelaki, analisis air mani merupakan ujian utama untuk menilai jumlah, pergerakan, serta bentuk sperma bersama pemeriksaan hormon melalui ujian darah

penilaian kesuburan wanita

Bagi wanita, pemeriksaan kesuburan asas biasanya merangkumi: ujian AMH, ujian imbasan (ultrasound) bagi melihat keadaan ovari dan rahim, serta semakan sejarah kitaran haid

Sekiranya anda dan pasangan telah mencuba untuk mendapatkan zuriat selama 12 bulan tetapi masih belum berjaya (atau 6 bulan jika umur sudah melebihi 35 tahun), ini masanya untuk berjumpa dengan doktor. Menjalani pemeriksaan awal tidak bermakna ada sesuatu yang tidak kena. Langkah ini cuma membantu anda dan doktor mendapatkan maklumat yang tepat untuk menentukan tindakan seterusnya, sama ada melalui perubahan gaya hidup, bantuan ubat-ubatan, atau rujukan kepada pakar kesuburan.

1.2 Pemeriksaan Kesihatan Sebelum Si Ibu Mengandung

Sebelum anda mula mencuba untuk mendapatkan zuriat, bertemu dengan doktor untuk pemeriksaan kesihatan pra-kehamilan. Ini adalah semakan kesihatan menyeluruh untuk mengenal pasti sebarang perkara yang boleh menjejaskan kandungan atau perkembangan bayi anda nanti.

Semasa sesi ini, doktor akan memeriksa tekanan darah, berat badan, serta tahap kesihatan am anda. Mereka juga akan menyemak jika ada penyakit sedia ada yang perlu dikawal sebelum atau semasa mengandung. Sesetengah ubat-ubatan tidak selamat diambil ketika hamil, jadi doktor mungkin akan menyarankan alternatif lain yang lebih selamat. Antara saringan kesihatan utama sebelum mengandung termasuklah:

  • Ujian darah untuk memeriksa masalah kurang darah (anemia), jenis kumpulan darah, serta tahap imuniti terhadap rubela dan cacar air (chickenpox)
  • Saringan penyakit jangkitan kelamin (STI)
  • Ujian saringan kanser serviks (pap smear) sekiranya sudah tiba tempohnya
  • Pemeriksaan tahap gula dalam darah, terutamanya jika ada sejarah keluarga yang menghidap kencing manis
  • Fungsi kelenjar tiroid

Suntikan vaksin juga perlu disemak semula sebelum anda mula mencuba untuk mengandung. Jangkitan rubela, terutamanya, boleh menyebabkan kecacatan kelahiran yang serius pada bayi jika ia berlaku pada awal kehamilan. Sekiranya anda tiada imuniti, doktor akan menyarankan pengambilan vaksin dan anda perlu menunggu sekurang-kurangnya sebulan selepas suntikan sebelum boleh mula merancang untuk mengandung.

1.3 Amalan Pemakanan dan Gaya Hidup Sebelum Mengandung

645584959 1537723985028229 8775994413867248809 n

Corak pemakanan dan gaya hidup anda beberapa bulan sebelum menimang cahaya mata akan memberi kesan langsung kepada perkembangan bayi. Sering kali, impak ini bermula sebelum anda menyedari diri anda sudah mengandung.

Langkah terawal dan paling utama adalah dengan mengambil asid folik.³ 

Zat ini amat kritikal untuk mengurangkan risiko kecacatan tiub saraf, iaitu satu keadaan serius yang menjejaskan pembentukan otak dan saraf tunjang bayi pada minggu-minggu awal kehamilan. Pakar perubatan menyarankan agar suplemen asid folik ini diambil sekurang-kurangnya sebulan sebelum mula mencuba untuk mengandung, dan diteruskan sepanjang trimester pertama.

Selain itu, anda juga perlu mengamalkan diet seimbang yang kaya dengan zat besi, kalsium, dan vitamin D. Pada masa yang sama, elakkan memakan ikan yang tinggi kandungan merkuri seperti ikan yu, ikan layaran, dan ikan tenggiri batang. Kurangkan juga pengambilan makanan diproses, gula berlebihan, serta kafein.

Sekiranya anda ada mengambil sebarang suplemen tambahan, ubat tradisional, mahupun ubat-ubatan farmasi tanpa preskripsi, sila rujuk doktor terlebih dahulu kerana sesetengahnya boleh memudaratkan kandungan.

1.4 Memahami Kitaran Haid Anda

Mengenali kitaran haid sendiri sangat membantu untuk anda mengira “waktu subur”, iaitu hari-hari paling ideal dalam setiap bulan yang membolehkan persenyawaan berlaku. Secara amnya, fasa ovulasi (pelepasan telur) berlaku sekitar 14 hari sebelum tarikh jangkaan haid yang seterusnya, namun tempoh ini berbeza-beza mengikut badan setiap individu.

Menjejaki kitaran haid sama ada menggunakan kalendar, aplikasi telefon pintar, atau kit ujian ovulasi dapat membantu anda melihat corak kesuburan diri dengan lebih jelas. Dengan cara ini, hubungan intim bersama pasangan dapat dirancang pada waktu yang tepat. Antara tanda fizikal berlakunya ovulasi termasuklah sedikit peningkatan pada suhu badan basal (suhu ketika rehat) serta perubahan pada cecair faraj yang menjadi lebih jernih, licin, dan memeri.

Persediaan yang rapi pada fasa ini amat membantu untuk merealisasikan impian anda bagi bergelar ibu, yang membawa kita ke fasa seterusnya…

Bahagian 2: Semasa Mengandung

Tahniah, ujian kehamilan anda menunjukkan keputusan positif!

Tempoh 9 bulan yang bakal mendatang ini pastinya akan membawa perubahan besar dalam hidup anda. Namun, perjalanan membawa kandungan sehingga ke hari kelahiran akan menjadi jauh lebih tenang dan lancar dengan adanya penjagaan antenatal (pemeriksaan kehamilan) yang teratur.

Penjagaan antenatal merangkumi semua rangkaian pemeriksaan perubatan yang anda terima sepanjang tempoh mengandung. Di Malaysia, kesedaran mengenai perkara ini sangat tinggi di mana majoriti ibu mengandung memenuhi jadual pemeriksaan berkala. Bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah kekerapan dan kualiti setiap sesi pemeriksaan tersebut. Kebanyakan doktor menyarankan agar pemeriksaan dilakukan sekurang-kurangnya sekali sebulan sepanjang trimester pertama dan kedua, dan akan menjadi lebih kerap apabila tarikh bersalin semakin hampir.

2.1 Kepentingan Buku Pink

klinik kesihatan ibu dan anak buku pink

Antara perkara terawal yang akan anda perolehi sebaik sahaja mendaftarkan kehamilan ialah Buku Kesihatan Ibu dan Anak atau lebih dikenali sebagai “Buku Pink”. Buku kecil terbitan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini sangat penting dan diberikan kepada ibu yang membuat pendaftaran kandungan di klinik atau hospital kerajaan. Ia merekodkan segala butiran berkaitan kehamilan anda serta kesihatan anak, bermula daripada lawatan antenatal pertama sehinggalah rekod perkembangan awal dan sejarah imunisasi anak nanti.

Pastikan anda membawa buku ini setiap kali menghadiri temu janji doktor, sama ada untuk pemeriksaan kandungan, rawatan selepas bersalin, mahupun ketika membawa anak ke klinik. Doktor dan jururawat amat bergantung kepada rekod di dalam buku ini untuk memantau sejarah kesihatan anda dan perkembangan bayi. Simpan buku ini dengan sebaiknya, kerana kehilangannya bermakna anda kehilangan keseluruhan fail perjalanan perubatan anda dan anak sejak dari hari pertama.

Baca artikel ini untuk tahu cara buka buku pink dengan klinik swasta.

2.2 Trimester Pertama (Minggu 1–12)

Temu janji antenatal pertama anda biasanya akan dijadualkan sekitar minggu ke-8 hingga ke-10 kehamilan. Semasa lawatan awal ini, doktor akan melakukan beberapa perkara penting, termasuklah:

  • Mengesahkan kehamilan dan mengira jangkaan tarikh bersalin (due date)
  • Memeriksa tekanan darah, berat badan, serta ujian air kencing
  • Menjalankan ujian darah menyeluruh untuk mengetahui kumpulan darah, saringan imuniti, serta mengesan sebarang jangkitan
  • Membincangkan sejarah kesihatan anda dan menilai jika ada faktor risiko

Pada fasa ini, badan anda sedang menyesuaikan diri dengan perubahan hormon yang mendadak. Oleh itu, gejala seperti alahan mual (morning sickness), muntah, keletihan melampau, payudara terasa sensitif, dan kerap membuang air kecil adalah perkara biasa. Untuk mengurangkan ketidakselesaan ini, amalkan makan dalam porsi yang kecil tetapi kerap, pastikan badan kekal hidrat, dan dapatkan rehat yang secukupnya. Gejala ini biasanya akan mula berkurangan apabila anda melangkah ke trimester kedua.

2.3 Trimester Kedua (Minggu 13–26)

Trimester kedua sering dianggap sebagai fasa kehamilan yang paling selesa. Masalah alahan pagi biasanya mula reda, tenaga anda kembali pulih, dan risiko keguguran juga menurun secara mendadak. Pada waktu ini, bentuk perut akan mula kelihatan jelas, dan sekitar minggu ke-18 hingga ke-20, anda mungkin akan mula merasai pergerakan halus atau tendangan pertama bayi dalam kandungan.

Antara imbasan dan ujian penting yang dijalankan sepanjang trimester ini termasuklah:

  • Imbasan terperinci (detailed anomaly scan) biasanya dibuat sekitar minggu ke-20 untuk memeriksa pembentukan organ, anggota badan, serta keseluruhan perkembangan fizikal bayi
  • Saringan darah ibu untuk mengesan risiko keabnormalan kromosom sekiranya disarankan oleh doktor
  • Saringan kencing manis semasa hamil (GDM) – Biasanya dilakukan antara minggu ke-24 hingga ke-28 melalui ujian minum air gula

Pastikan anda konsisten mengambil asid folik dan vitamin pranatal yang dibekalkan. Memandangkan keperluan zat besi dan kalsium semakin meningkat, lebihkan makanan yang kaya dengan zat besi (seperti daging merah, sayuran hijau, dan kekacang) serta sumber kalsium (seperti produk tenusu dan tauhu). 

Anda juga digalakkan untuk kekal aktif dengan senaman ringan yang selamat seperti berjalan santai, berenang, atau yoga pranatal. Walau bagaimanapun, elakkan sukan lasak atau gerakan yang memerlukan anda berbaring terlentang dalam tempoh yang lama.

2.4 Trimester Ketiga (Minggu 27–40)

Melangkah ke fasa terakhir, bayi anda akan membesar dengan sangat cepat dan badan anda pula mula membuat persediaan untuk menghadapi proses bersalin. Memandangkan saiz kandungan yang semakin membesar memberi tekanan kepada organ dalaman, adalah normal jika anda mula mengalami gejala seperti sakit belakang, kaki sembab, sesak nafas, pedih ulu hati, serta kesukaran untuk tidur lena.

Pada fasa ini, temu janji klinik akan menjadi lebih kerap, biasanya setiap dua hingga empat minggu sekali, dan akan bertukar kepada setiap minggu apabila tarikh bersalin semakin hampir. Doktor akan memantau kedudukan bayi, kadar pertumbuhan, serta degupan jantungnya.

Persediaan untuk menghadapi detik kelahiran merangkumi:

  • Mengenali tanda-tanda bersalin – seperti turun tanda (lendir bercampur darah), pecah air ketuban, atau kontraksi yang konsisten serta semakin kerap
  • Tahu bila perlu ke hospital – secara amnya, apabila kontraksi berlaku setiap 5 minit sekali, berlarutan selama 1 minit, dan corak ini berterusan selama sekurang-kurangnya satu jam
  • Menyediakan beg hospital lengkap dengan barangan keperluan asas untuk kegunaan anda dan bayi
  • Berbincang tentang pelan kelahiran termasuk pilihan untuk mengurangkan rasa sakit bersama doktor yang merawat

Tanda amaran pada trimester ketiga yang memerlukan pemeriksaan perubatan segera:

  • Sakit kepala yang teruk atau berlaku secara tiba-tiba
  • Pandangan mata kabur atau berpusing
  • Bengkak yang ketara pada bahagian muka, tangan, atau kaki
  • Pergerakan bayi berkurangan atau tiada langsung
  • Berlaku pendarahan faraj yang banyak
  • Kontraksi rahim sebelum minggu ke-37, yang mungkin menandakan kelahiran pramatang

2.5 Bila Perlu Segera Berjumpa Doktor Sepanjang Tempoh Mengandung

Sepanjang melalui ketiga-tiga trimester, terdapat beberapa gejala yang tidak boleh dipandang remeh sama sekali, tidak kira seberapa kecil sekalipun ia kelihatan. Sentiasa percaya kepada gerak hati anda sebagai seorang ibu. Sekiranya ada sesuatu yang dirasakan tidak kena, segera lakukan pemeriksaan. Ia jauh lebih baik untuk mendapatkan kepastian daripada doktor berbanding anda terus tertanya-tanya dalam kebimbangan.

Jangan teragak-agak untuk mendapatkan rawatan kecemasan dengan segera sekiranya anda mengalami pendarahan yang banyak, kesakitan yang melampau, pergerakan bayi berkurangan, demam tinggi, tanda-tanda jangkitan, atau apa-apa sahaja perubahan drastik yang berbeza daripada pengalaman kehamilan normal anda.

Bahagian 3: Persediaan Menyambut Kelahiran

Apabila tarikh jangkaan bersalin semakin hampir, persediaan dari segi praktikal menjadi sama pentingnya dengan penjagaan perubatan. Mengetahui di mana anda bakal melahirkan anak, apa yang perlu dijangkakan, serta apa yang perlu dibawa dapat membantu anda berasa lebih bersedia sekaligus mengurangkan rasa cemas apabila detik tersebut tiba.

3.1 Cara Merangka Pelan Kelahiran (Birthing Plan)

Pelan kelahiran merupakan dokumen bertulis yang mengandungi pilihan dan keinginan anda sepanjang proses hantar serah (labour) serta kelahiran. Ia bukanlah satu dokumen yang tegar atau tidak boleh diubah, memandangkan proses bersalin jarang sekali berlaku tepat seperti yang dirancang. Walau bagaimanapun, ia merupakan medium yang sangat berguna untuk menyampaikan hasrat anda kepada pasukan perubatan di samping membantu anda meneliti setiap pilihan yang ada lebih awal.

Pelan kelahiran yang baik biasanya merangkumi perkara berikut:

Pilihan Kaedah Menahan Sakit 
Fikirkan bagaimana anda mahu menguruskan rasa sakit semasa melahirkan anak. Antara pilihan yang ada termasuklah bius epidural, gas entonox, suntikan pethidine, atau mengawal kesakitan tanpa ubat-ubatan melalui teknik pernafasan dan pergerakan fizikal. Tiada istilah betul atau salah dalam hal ini, yang paling penting adalah anda mendapat maklumat yang cukup dan disokong dalam setiap keputusan yang diambil.

Teman Menemani di Sini 
Tentukan siapa yang anda mahu ada bersama di dalam dewan bersalin; sama ada suami, ibu, rakan karib, atau peneman kelahiran profesional (doula). Sila semak polisi hospital atau klinik pilihan anda terlebih dahulu mengenai syarat kemasukan peneman.

Pilihan Semasa Proses Bersalin 
Pertimbangkan jika anda mempunyai posisi tertentu yang dirasakan selesa untuk bersalin, sama ada anda mahu mencuba kelahiran normal sepenuhnya, terbuka kepada kaedah bantuan (seperti penggunaan forseps atau vakum), dan dalam situasi bagaimana anda memberikan keizinan untuk prosedur pembedahan caesarean.

Sejurus Selepas Bayi Lahir 
Nyatakan keinginan anda untuk fasa “Golden Hour”—seperti sentuhan kulit ke kulit yang segera, penundaan pemotongan tali pusat, serta langkah awal memulakan penyusuan susu ibu. Jika anda mempunyai pendirian yang kuat tentang bagaimana momen awal bayi anda patut diuruskan, catatkannya di sini.

Fleksibiliti Jika Plan Bertukar 
Perkara paling utama yang perlu ada dalam pelan kelahiran anda ialah sikap keterbukaan. Situasi perubatan boleh berubah dengan sangat pantas, dan keutamaan doktor adalah memastikan keselamatan ibu dan bayi terpelihara. Bincangkan pelan ini bersama doktor anda pada trimester ketiga supaya mereka memahami keinginan anda dan boleh memberi nasihat tentang apa yang praktikal atau sebaliknya di fasiliti tersebut.

3.2 Pilihan Bersalin: Hospital Kerajaan vs Hospital Swasta

Antara keputusan terbesar yang perlu anda buat sebelum melahirkan anak ialah memilih fasiliti kesihatan yang tepat. Di Malaysia, anda mempunyai dua pilihan utama: hospital kerajaan atau hospital swasta. Setiap pilihan mempunyai kelebihan masing-masing, dan keputusan terbaik sebenarnya bergantung kepada situasi serta bajet anda.

Hospital Kerajaan (Awam) 
Hospital kerajaan di Malaysia menawarkan kos penjagaan materniti yang disubsidi tinggi, menjadikannya pilihan yang sangat mampu milik—malah ada kalanya hanya memerlukan sebahagian kecil daripada kos rawatan swasta. Fasiliti ini dikendalikan oleh barisan doktor dan bidan terlatih, serta dilengkapi dengan kepakaran penuh untuk mengendalikan kehamilan berisiko tinggi mahupun kes kecemasan.

Kekurangannya pula adalah masa menunggu yang biasanya lebih lama, ruang privasi yang agak terhad (pilihan bilik biasanya adalah wad biasa yang dikongsi), serta doktor yang bertugas sentiasa bertukar-tukar—anda mungkin akan diperiksa oleh doktor yang berbeza pada setiap temu janji dan semasa bersalin. Walau bagaimanapun, untuk kehamilan normal tanpa komplikasi, hospital kerajaan menyediakan penjagaan perubatan yang sangat selamat dan diyakini.

Hospital Swasta 
Hospital swasta pula menawarkan pengalaman penjagaan yang lebih peribadi. Kebiasaannya, anda akan dipantau oleh pakar perbidanan yang sama sejak awal mengandung hinggalah ke hari melahirkan anak. Anda juga mendapat akses kepada bilik persendirian atau semi-persendirian, serta perhatian yang lebih eksklusif daripada kakitangan kejururawatan. Kemudahan di sini selalunya lebih moden dan masa menunggu juga jauh lebih singkat.

Pertimbangan utama untuk pilihan ini sudah pastinya adalah kos. Caj bersalin di hospital swasta di Malaysia boleh mencecah sehingga beberapa ribu ringgit untuk kelahiran normal, dan boleh menjadi jauh lebih tinggi sekiranya melibatkan pembedahan caesarean, bergantung kepada fasiliti dan yuran pakar yang merawat. Pastikan anda menyemak perlindungan insurans anda terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Bincangkan pilihan ini bersama pasangan dan doktor anda. Mereka boleh memberikan saranan terbaik mengenai hospital mana yang paling sesuai berdasarkan sejarah kesihatan dan keadaan kehamilan anda.

3.3 Senarai Semak Beg Hospital

pregnancy hospital bag 900x600 1

Sebaik-baiknya, mulakan persiapan dan kemas beg hospital anda sekitar minggu ke-36 kehamilan sebagai persediaan jika bayi memilih untuk lahir lebih awal daripada tarikh jangkaan. Tip mudah untuk melancarkan proses ini adalah dengan menyediakan dua beg berasingan: satu beg khusus untuk kegunaan di dalam dewan bersalin (labour room), dan satu beg lagi untuk keperluan sepanjang tempoh berpantang di wad selepas melahirkan anak.

Anda tidak perlu membawa barang secara berlebihan. Kebanyakan hospital ada menyediakan kemudahan asas, dan sekiranya tempoh penginapan anda menjadi lebih lama daripada yang dijangkakan, suami atau ahli keluarga sentiasa boleh membawa barangan tambahan kemudian. Perkara yang paling penting adalah memastikan barangan keperluan utama ini sudah siap dikemas dan diletakkan di tempat yang mudah dicapai.

Bahagian 4: Selepas Bersalin — Penjagaan Bayi Baru Lahir

Hari-hari dan minggu-minggu awal selepas kepulangan orang baharu pastinya menjadi fasa penyesuaian yang besar buat si kecil yang baru sahaja keluar daripada rahim ibu, mahupun buat anda sebagai ibu bapa yang baru pertama kali menguruskan segalanya sendiri.

4.1 Tempoh 24 Jam Pertama

Sebaik sahaja dilahirkan, bayi anda akan diperiksa secara menyeluruh oleh pasukan perubatan. Saringan awal ini merangkumi pemeriksaan corak pernafasan, kadar degupan jantung, tonus otot, refleks tindak balas, serta warna kulit bayi.

Bayi juga akan ditimbang, diukur panjangnya, dan diberikan suntikan vitamin K bagi mencegah risiko gangguan pendarahan yang jarang berlaku tetapi serius. Selain itu, ubat titis mata antibiotik mungkin akan diberikan sebagai langkah pencegahan terhadap jangkitan kuman.

Bagi anda yang merancang untuk menyusukan bayi, tempoh sejam pertama selepas bersalin yang dikenali sebagai “Golden Hour” adalah waktu yang paling kritikal. Kaedah meletakkan bayi di atas dada ibu secara bersentuhan kulit ke kulit bukan sahaja dapat mengeratkan ikatan kasih sayang, malah membantu menstabilkan suhu badan dan degupan jantung bayi, sekali gus merangsang penyusuan susu ibu yang pertama. Jangan berasa kecewa sekiranya penyusuan tidak berjalan lancar pada cubaan pertama; proses ini memerlukan latihan dan kesabaran bagi kedua-dua pihak, dan pasukan jururawat sentiasa bersedia untuk membantu anda.

4.2 Keperluan Asas Kesihatan Bayi Baharu Lahir

Pemakanan Bayi

Susu ibu ialah sumber khasiat utama yang paling disyorkan untuk bayi baru lahir. Ia mengandungi keseimbangan nutrisi yang sempurna serta antibodi semula jadi bagi melindungi bayi daripada jangkitan kuman dan menyokong perkembangannya. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan penyusuan susu ibu secara eksklusif bagi tempoh enam bulan pertama.⁴

Bagaimanapun, sekiranya penyusuan susu ibu tidak dapat dilakukan atas faktor tertentu atau bukan pilihan anda, susu formula bayi merupakan alternatif yang selamat dan berkhasiat. Pastikan anda memilih formula yang bersesuaian dengan usia bayi dan sentiasa patuhi arahan penyediaan dengan teliti bagi mengelakkan risiko kontaminasi atau sukatan bancuhan yang salah.

Bayi baru lahir perlu menyusu dengan kerap, kebiasaannya setiap dua hingga tiga jam sekali, atau sekitar 8 hingga 12 kali dalam tempoh 24 jam. Perhatikan tanda-tanda bayi lapar seperti pergerakan mencari puting, membuat gerakan menghisap, dan memasukkan tangan ke dalam mulut. Menangis sebenarnya adalah tanda lewat yang menunjukkan bayi sudah terlalu lapar.

Amalan Tidur yang Selamat

Amalan tidur yang betul amat penting untuk mengurangkan risiko Sindrom Kematian Bayi Mendadak (SIDS). Sentiasa tidurkan bayi anda dalam posisi menelentang di atas tilam yang rata dan pejal, di dalam ruang tidurnya sendiri. Pastikan kawasan tidur bayi bebas daripada bantal, selimut yang longgar, permainan lembut, atau pelindung katil. Anda juga digalakkan untuk berkongsi bilik dengan bayi tetapi elakkan daripada berkongsi katil yang sama, sekurang-kurangnya untuk enam bulan pertama.

Penjagaan Tali Pusat

Tali pusat bayi biasanya akan luruh dengan sendiri dalam tempoh satu hingga tiga minggu selepas kelahiran. Kunci utama penjagaannya adalah memastikan kawasan tersebut sentiasa bersih dan kering. Lipat bahagian atas lampin bayi ke bawah sedikit agar ia tidak menutup tali pusat bagi menggalakkan pengaliran udara. Jangan sekali-kali cuba menarik atau mengopek tali pusat tersebut. Sekiranya anda mendapati kawasan sekeliling pusat menjadi merah, membengkak, atau mengeluarkan bau kurang menyenangkan, segera bawa bayi berjumpa doktor kerana itu mungkin tanda jangkitan kuman.

Mengenali Tanda-Tanda Bayi Kurang Sihat

Memandangkan bayi baru lahir belum pandai memberi isyarat apabila ada sesuatu yang tidak kena, kepekaan anda amatlah diperlukan. Segera dapatkan rawatan perubatan sekiranya bayi anda menunjukkan tanda-tanda berikut:

  • Mengalami demam dengan suhu 38°C ke atas.
  • Enggan menyusu atau bilangan lampin basah berkurangan secara mendadak daripada biasa
  • Terlalu lemah, layu, atau terlampau sukar untuk dikejutkan daripada tidur
  • Tangisan yang bernada tinggi atau berbeza daripada biasa
  • Bernafas dengan laju, berbunyi, atau kelihatan tercungap-cungap dengan dada yang berombak
  • Kulit atau bahagian putih mata kelihatan kuning selepas dua minggu pertama (penyakit kuning/jaundis berpanjangan)
  • Timbul ruam pada kulit, terutamanya jika disertai dengan demam

4.3 Imunisasi dan Vaksinasi Bayi

jadual imunisasi dan vaksinasi bayi

Suntikan vaksin amat penting untuk melindungi bayi anda daripada jangkitan penyakit serius yang boleh membawa maut, terutamanya ketika sistem imun badan mereka masih dalam fasa perkembangan. Sebagai contoh, sehingga Ogos 2023, lebih separuh daripada kes batuk kokol (pertussis) yang dilaporkan melibatkan bayi berusia di bawah 12 bulan.⁵ Malah, hampir 90 peratus daripada kes yang disahkan berlaku dalam kalangan bayi yang masih terlalu muda⁶ untuk menerima dos lengkap atau tidak mendapat imunisasi yang sepatutnya bagi usia mereka. Statistik ini jelas menunjukkan betapa kritikalnya bagi ibu bapa untuk memastikan anak-anak menerima vaksin mengikut jadual yang ditetapkan.

Di Malaysia, Program Imunisasi Kebangsaan menyediakan perkhidmatan vaksinasi kepada semua kanak-kanak melalui sistem kesihatan awam (Klinik Kesihatan KKM). Jadual imunisasi ini bermula sejurus selepas bayi dilahirkan dan diteruskan sepanjang fasa kanak-kanak. Antara vaksin utama yang diberikan pada bulan-bulan awal kelahiran termasuklah pelindung daripada penyakit Hepatitis B, batuk kering (BCG), difteria, kancing gigi (tetanus), batuk kokol, polio, Haemophilus influenzae jenis b, serta penyakit pneumokokal.

Anda boleh merujuk jadual imunisasi penuh yang disarankan oleh KKM untuk maklumat lanjut.

Selepas menerima suntikan, adalah normal bagi bayi untuk mengalami kesan sampingan yang ringan seperti demam biasa, meragam, atau kesan kemerahan dan sedikit bengkak pada tempat suntikan. Keadaan ini biasanya akan pulih dengan sendiri dalam masa satu hingga dua hari. Sekiranya bayi berasa tidak selesa, pemberian ubat paracetamol dengan dos yang betul mengikut berat badan bayi amat membantu untuk melegakan simptom tersebut.

Pastikan buku rekod kesihatan dan imunisasi bayi anda disimpan dengan selamat dan sentiasa dibawa setiap kali bertemu doktor. Buku ini merupakan dokumen perubatan yang sangat penting sepanjang fasa tumbesaran anak anda.

4.4 Perkembangan Bayi dalam Tahun Pertama

Setiap bayi berkembang pada kadar yang berbeza, namun terdapat petunjuk perkembangan umum yang digunakan oleh pakar perubatan untuk menilai tahap kesihatan dan tumbesaran mereka. Cakna tentang fasa-fasa ini membantu anda mengesan lebih awal sekiranya ada perkara yang memerlukan perhatian khusus.

0 hingga 3 Bulan: Bertindak balas terhadap bunyi, mula mengekor wajah orang di sekeliling dengan pandangan mata, mula memberikan senyuman sosial (senyum apabila diagah), serta mampu mengangkat kepala seketika semasa sesi tummy time.

3 hingga 6 Bulan: Mula ketawa dan mengeluarkan bunyi suara, cuba mencapai objek di hadapan mata, pandai berguling dari posisi meniarap ke menelentang, serta menunjukkan minat terhadap persekitaran.

6 hingga 9 Bulan: Boleh duduk dengan bantuan sebelum mula duduk sendiri tanpa sokongan, mula membebel, bertindak balas apabila namanya dipanggil, serta mula menunjukkan rasa takut atau cemas dengan orang yang tidak dikenali.

9 hingga 12 Bulan: Mampu berpaut pada perabot untuk berdiri, mula belajar berjalan setapak demi setapak sambil berpaut (cruising), boleh mengutip objek kecil menggunakan ibu jari dan jari telunjuk (pincer grasp), mula menyebut perkataan pertama seperti “mama” atau “dada”, serta pandai melambai tangan dan bertepuk tangan.

Pemeriksaan rutin pakar kanak-kanak memang sudah dijadualkan pada tempoh tertentu sepanjang tahun pertama ini. Sesi tersebut penting untuk memantau carta pertumbuhan, memeriksa tahap pendengaran dan penglihatan, memberikan suntikan vaksin, serta membincangkan sebarang kemusykilan anda. Jangan sesekali melangkau janji temu ini walaupun bayi anda kelihatan sihat walafiat.

Segera berbincang dengan doktor sekiranya bayi anda belum mencapai petunjuk perkembangan asas bagi usianya, hilang kemahiran yang pernah mereka buat sebelum ini, atau jika anda mempunyai sebarang keraguan tentang perkembangannya. Intervensi awal amat membantu memberikan perbezaan yang besar dalam masa hadapan anak.

Bahagian 5: Kesihatan Ibu Selepas Bersalin (Postpartum)

Selepas kelahiran, perhatian secara semula jadi akan beralih kepada bayi, namun kesihatan ibu dalam minggu-minggu dan bulan-bulan berikutnya adalah sama pentingnya. Proses pemulihan selepas bersalin adalah satu fasa yang benar-benar menuntut fizikal dan mental, serta memerlukan masa. Berikan diri anda penjagaan dan kesabaran yang sama seperti mana yang anda berikan kepada anak anda.

5.1 Pemulihan Fizikal Selepas Bersalin

Pemulihan selepas kelahiran normal selalunya mengambil masa beberapa minggu. Anda mungkin akan mengalami rasa senak atau sakit pada bahagian perineum, pendarahan nifas (lochia), serta bengkak susu apabila susu badan mula keluar. Rehat yang mencukupi, pemakanan yang betul, dan pergerakan ringan dapat membantu melancarkan proses pemulihan ini.

Pemulihan selepas pembedahan caesarean pula mengambil masa yang lebih lama, memandangkan ia melibatkan pembedahan besar pada bahagian abdomen. Jangkakan tempoh antara enam hingga lapan minggu sebelum anda mula merasa diri kembali normal. Sepanjang tempoh ini, elakkan daripada mengangkat benda yang lebih berat daripada bayi anda, memandu kenderaan, serta melakukan aktiviti lasak. Pastikan kawasan luka pembedahan sentiasa bersih dan kering, serta awasi tanda-tanda jangkitan seperti peningkatan kesan kemerahan, bengkak, atau cecair yang keluar dari luka.

Pendarahan nifas adalah normal untuk tempoh sehingga enam minggu selepas melahirkan anak. Ia bermula dengan aliran yang banyak dan berwarna merah cerah, sebelum beransur-ansur menjadi lebih sikit dan berubah warna. Segera berjumpa doktor sekiranya anda mengalami pendarahan melampau sehingga lencana tuala wanita basah lencun dalam masa sejam, mengeluarkan ketulan darah yang besar, atau jika pendarahan tiba-tiba menjadi kembali banyak selepas ia mula berkurangan.

5.2 Kesihatan Mental Selepas Bersalin

4afd3e8c4aa42dbc3d089d247d244246

Hari-hari awal sejurus selepas melahirkan anak sering kali membawa gelombang emosi yang sangat hebat — ada rasa gembira, kasih sayang, cemas, dan ada kalanya terselit rasa sedih atau mudah meradang yang datang tiba-tiba. Keadaan ini biasanya dikenali sebagai “baby blues” dan dialami oleh hampir 50 hingga 80% ibu baharu. Ia berpunca daripada perubahan hormon yang mendadak selepas bersalin dan kebiasaannya akan surut dengan sendiri dalam tempoh dua minggu pertama.

Kemurungan lepas bersalin (postpartum depression) pula berbeza. Ia merupakan satu keadaan yang lebih berlarutan dan serius yang boleh berkembang pada bila-bila masa dalam tempoh tahun pertama selepas bersalin. Antara gejalanya termasuklah perasaan sedih yang berpanjangan, hilang minat terhadap bayi anda, sukar untuk membina ikatan kasih sayang (bonding), keletihan yang melampau, rasa diri tidak berguna, keresahan, dan dalam kes yang teruk, timbul keinginan untuk mencederakan diri sendiri atau bayi anda. Di Malaysia, kemurungan lepas bersalin dianggarkan menjejaskan sasar antara 10 hingga 27% ibu bersalin, walaupun angka sebenar dipercayai lebih tinggi disebabkan kes yang tidak dilaporkan akibat stigma masyarakat.

Kemurungan lepas bersalin bukanlah satu tanda kelemahan diri atau kegagalan anda sebagai ibu. Ia adalah sejenis keadaan perubatan dan ia boleh dirawat. Sekiranya anda atau orang terdekat menyedari tanda-tanda ini, dapatkan bantuan daripada doktor secepat mungkin. Rawatan yang disediakan adalah berkesan dan pemulihan bukanlah sesuatu yang mustahil.

Pasangan dan ahli keluarga memainkan peranan yang amat penting dalam menyokong kesihatan mental ibu baharu. Sentiasalah bertanya khabar, hulurkan bantuan praktikal (seperti menguruskan kerja rumah atau menjaga bayi), dan ambil tahu setiap kebimbangan yang diluahkan dengan serius. Kadangkala, sokongan paling bermakna yang boleh anda berikan adalah dengan hanya berada di sisi mereka.

5.3 Pemakanan dan Rehat Selepas Bersalin

Sekiranya anda menyusukan bayi, keperluan nutrisi anda akan kekal tinggi. Teruskan mengambil vitamin pranatal anda, pastikan badan kekal hidrat dengan minum air yang cukup, serta amalkan makan makanan yang seimbang secara teratur. Proses penyusuan membakar kalori yang banyak, jadi jangan sesekali menyekat diet anda — tubuh anda memerlukan “bahan api” yang mencukupi untuk menghasilkan susu dan memulihkan diri.

Masalah kurang tidur adalah antara cabaran paling getir dalam fasa awal bergelar ibu bapa. Bayi baru lahir belum mempunyai corak tidur yang tetap sepanjang malam, dan kesan jangka panjang daripada tidur yang terganggu ini boleh menjejaskan pemulihan fizikal, mood, serta keupayaan anda untuk menguruskan diri. Cuba curi masa untuk tidur apabila bayi anda tidur, terima bantuan daripada keluarga dengan hati terbuka, dan jika boleh, bahagikan tugas menyusu pada waktu malam bersama pasangan anda.

Kembali lakukan senaman secara berperingkat. Aktiviti berjalan santai biasanya sudah boleh dimulakan dalam masa beberapa minggu pertama bagi kebanyakan ibu. Senaman yang lebih intensif secara amnya selamat untuk dilakukan selepas pemeriksaan doktor pada minggu keenam, atau mungkin mengambil masa lebih lama sekiranya anda bersalin secara pembedahan caesarean. Dengarlah isyarat tubuh badan anda dan jangan terburu-buru dalam melalui proses ini.

5.4 Pemeriksaan Doktor Selepas Bersalin

physiotherapist examining a newborn baby in a medi 2023 11 27 05 32 31 utc

Sesi pemeriksaan doktor selepas bersalin biasanya dijadualkan pada minggu keenam selepas melahirkan anak. Lawatan ini merangkumi penilaian terhadap pemulihan fizikal, kesejahteraan emosi, serta sebarang kemusykilan yang anda hadapi. Doktor akan memeriksa tekanan darah, memeriksa bahagian abdomen atau kesan potongan jika anda bersalin secara caesarean, menilai tanda-tanda kemurungan lepas bersalin, serta membincangkan tentang perancangan keluarga.

Urusan merancang kehamilan selepas bersalin amat munasabah untuk dibincangkan bersama doktor sebelum anda dibenarkan keluar dari hospital. Ini kerana tahap kesuburan anda boleh kembali semula sebelum anda didatangi haid yang pertama — kadangkala seawal tiga minggu selepas bersalin, walaupun anda menyusukan bayi sepenuhnya. Terdapat pilihan perancang kehamilan yang selamat dan tidak mengganggu penghasilan susu ibu, dan doktor anda boleh membantu memilih kaedah yang paling sesuai.

Sebaik sahaja anda pulih sepenuhnya, kembali lakukan pemeriksaan kesihatan rutin anda seperti biasa. Ujian saringan kanser serviks (pap smear), pemeriksaan payudara, dan ujian profil darah menyeluruh merupakan langkah permulaan yang baik untuk memastikan kesihatan optimum diri anda sentiasa terjaga.

Memilih Klinik dan Pakar Pediatrik yang Tepat untuk Persiapan Anak Pertama

gynaecologist cheras

Cari pakar pediatrik yang anda percayai sebelum bayi anda lahir. Pakar pediatrik yang baik ialah seorang yang membuatkan anda selesa untuk bertanya soalan, sudi mendengar tanpa terburu-buru, dan mudah dihubungi apabila timbul sebarang keraguan. Minta saranan daripada pakar perbidanan anda atau rakan-rakan yang sudah mempunyai anak.

Kehamilan yang sihat dan bayi yang sihat bermula lama sebelum kelahiran lagi, dan berterusan sehingga tahun pertama serta seterusnya. Pada setiap fasa, daripada persediaan sebelum hamil sehinggalah ke perkembangan awal anak anda, mempunyai klinik yang benar-benar memahami kesihatan wanita dan kanak-kanak akan memberikan perbezaan yang besar.

Merancang cahaya mata pertama atau mencari klinik yang dipercayai untuk keluarga anda? Klinik Azurose adalah klinik 24 jam khusus untuk wanita dan kanak-kanak di Alam Damai, Cheras. Doktor kami bersedia sepanjang masa untuk sesi konsultasi, penjagaan kehamilan, pemeriksaan bayi baru lahir, dan pelbagai perkhidmatan lain. Datang terus pada bila-bila masa atau tempah janji temu hari ini.

Rujukan:

1   Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). (2023). Vital Statistics, Malaysia 2023.

2   Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Malaysia (LPPKN). (2023). Kajian kesedaran dan pengetahuan orang awam mengenai infertiliti.

4   World Health Organization (WHO). (2023). Breastfeeding, World Health Organisation.

5   Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). (2023, Ogos 22). Pertussis Under Control, This Year’s Cases 53% Lower Than 2019. Bernama. 

More Articles